Kesejukkan Bertaubat


Dalam kehidupan seharian sebagai insan biasa yang meniti usia muda dan remaja, kebanyakkan dari kita melaluinya dengan carta yang hampir serupa. Kebanyakkanya belum habis belajar lagi sama ada di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi. Sebagai manusia biasa, Pastinya kita terjerat melakukan dosa dalam kehidupan seharian. Ini mungkin berpunca daripada usia dan darah remaja yang ingin mencuba sesuatu yang baru dan tanpa kita sedari kita telah melanggar syariat yang dibataskan oleh tuhan pemilik alam.

Oh tuhan, betapa indahnya kehidupan yang Kau berikan kepada kami, namun kami lalai dan alpa dengan kehidupan tersebut. Betapa tidak disedari, liku-liku kehidupan kami penuh dengan dosa. Namun, Kau Maha Pengasih dan Maha Memahami sehinggakan Kau berfirman di dalam KalamMu yang mulia di surah Az-zumar :

"Katakanlah (Muhammad) kepada hambaku yang melampaui batas di atas diri mereka jangan sesekali berputus asa dengan rahmat dari Allah, sesungguhnya Allah mengampunkan semua dosa, sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang."

Wahai tuhan kami, malunya kami dengan kekasihMu Sayyidina Muhammad. Kau menjadikan baginda seorang yang tidak pernah melakukan dosa walaupun dosa kecil, namun baginda tetap berkata di dalam perkataannya yang sohih :

"Sesungguhnya aku memohon keampunan Allah dan bertaubat kepadaNya tujuh puluh kali sehari."

Betapa jauhnya kami dengan baginda rasul dalam mendekatkan diri kepada Mu tuhan kami.

Wahai Sahabat,

Usia bukanlah penghalang untuk menjadikan seseorang itu dari kalangan orang yang bertaubat. Ini kerana kematian itu tidak pernah mengenal usia. Sesungguhnya aku pernah melihat seseorang yang lebih muda dariku telah dijemput oleh tuhan kehadhratNya. Waktu itu tidak berguna lagi dunia yang menipu ini. Tidak berguna lagi cintamu kepada para wanita. Tidak berguna lagi pengharapan taubatmu, ini kerana pintu taubat telah tertutup. Tunggulah saat dihitung oleh tuhan di hadapanNya tidak lama lagi. Takutnya kami wahai tuhan.

Betapa indahnya kehidupan seseorang yang bertaubat dari dosanya. Kerana bila-bila masa sahaja mereka yang bertaubat itu mampu berdiri dihadapan tuhan kerana tiadanya dosa mereka. Al-Imam Abu Hamid Muhammad Al-Ghazali membahagikan rukun taubat itu kepada 3, iaitu :

1. Menyesal diatas perbuatan dosanya

2. Berazam tidak mahu lagi melakukan dosa yang lampau

3. Mencabut (melarikan diri) dari mengulang dosanya dahulu.

Ada sesetengah ulama' menambahnya kepada yang ke-4 iaitu memohon keampunan dari manusia yang pernah kita melakukan kejahatan keatasnya.

Marilah segera kita melaksanakan taubat. Tuhan yang Maha Pengampun senantiasa menunggu taubat daripada para hambaNya. Apabila kita sudah bertaubat, hati kita pasti sentiasa sejuk, damai, dan bening sekali. Jangan sia-siakan kehidupan diatas dunia ini sebagai manusia yang rugi. Kalau kamu hanya rugi di dunia sahaja tidak apa, tetapi yang paling ditakuti rugi di akhirat kelak.

Pada waktu itu mulut-mulut dikunci, dan bercakaplah tangan dan kaki kita apa yang pernah kita lakukan di dunia.

Perihal taubat bukan sahaja menguntungkan seseorang di akhirat sahaja, tetapi di dunia pun ia menjadi penawar kedukaan.

Pernah suatu ketika Imam Hasan al-Basri didatangi oleh tetamu. Tetamu pertama, menyampaikan masalah kekeringan, Tamu kedua, masalah hutang, tamu ketiga, masalah keturunan. Imam Hasan al-Basri menjawab semua keluhan ketiga tetamunya dengan membacakan satu ayat di dalam al-Quran.

"Mohon ampunlah kepada Tuhanmu. Sesungguhnya, Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebatnya, melimpahkan harta dan anaka-anak bagimu, serta mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai-sungai untukmu."

Paling tidak ada empat fadhilat taubat yang terkandung di dalam tiga ayat di dalam surah Nuh di atas. Mari kita kita perhatikan fadhilat taubat berikut dibawah ini.

Pertama, orang yang memiliki kebiasaan beristighfar atau bertaubat tidak akan mengalami kekeringan. Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan selalu melimpahkan air hujan tanpa harus menjadi banjir atau bencana bagi orang tersebut.

Kedua, Allah akan senantiasa mengalirkan rezeki dan menghindarkan diri kita dari lilitan hutang sehingga harta yang kita miliki menjadi membawa berkah bagi diri kita dan keluarga kita maupun untuk orang-orang sekeliling kita.

Ketiga, orang yang memiliki kebiasaan istighfar, Allah akan memberikan keturunan atau anak-anak yang soleh dan berbakti kepada kedua orang tuanya sehingga di dalam keluarga memiliki ketenteraman dan kebahagiaan selalu.

Keempat, Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan memberikan kita tempat usaha yang diberkahi dengan digambarkan dengan memberikan kebun dan sungai-sungai dengan pemandangan yang indah.

Dari keempat fadhilat taubat dan istighfar diatas bahawa, memohon keampunan adalah kemampuan kita untuk melakukan instropeksi diri atau yang disebut dengan 'Muhasabah' maka kita mengetahui penyebab akar masalah sekaligus kita menemukan solusi dari masalah itu sendiri. Itulah makna fadhilat istighfar dan taubat.

Tuntasnya, marilah segera kita bertaubat dari dosa-dosa kita yang pernah kita lakukan dengan melazimi istighfar dalam setiap perbuatan dan langkah kita. Semoga kita bersama diampunkan oleh Allah tuhan pemilik keampunan.




No comments: