Bagaimanakah minda orang kaya berfikir?

Beberapa persoalan sering terlintas di pemikiran kita. (i) Mengapakah ada orang yang lahir miskin dan ada pula yang dilahirkan dalam keluarga yang kaya? (ii) Benarkah bahawa seseorang yang kaya itu adalah disebabkan tuah dan orang miskin jadi miskin disebabkan takdir? (iii) Benarkah bahawa untuk menjadi kaya kita perlu belajar daripada mereka yang kaya? Kaya atau miskinnya seseorang itu, telah ditentukan Allah. Namun tidak salah untuk kita melihat, belajar dengan mencontohi kejayaan mereka yang kaya agar nasib diri kita berubah kepada yang lebih baik. Dalam Al-Quran sendiri menyebut bahawa, tidak akan diubah nasib sesuatu kaum itu, sekiranya mereka tidak merubah nya sendiri. Jadi, mari kita selami bagaimana cara orang kaya berfikir?
Bagaimanakah minda orang kaya berfikir?
Jika dikaji pemikiran orang kaya di dunia seperti Bill Gates, Warren Buffett atau di Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kita akan dapat melihat ciri-ciri dan sifat-sifat peribadi yang berbeza berbanding orang biasa, iaitu:
  1. Suka berniaga atau usahawan semula jadi: Hampir kesemua orang kaya memiliki perniagaan sendiri kecuali mereka yang mewarisi kekayaan keluarga. Dalam sejarah, hampir tidak pernah berlaku orang makan gaji menjadi kaya raya. Jadi jika mahu menjadi kaya, anda perlu memulakan perniagaan sendiri. Orang kaya juga ada kalanya melakukan multi-tasking dalam kehidupan sehariannya, maksudnya melakukan lebih daripada satu kerja pada satu masa!
  1. Berpandangan jauh dan mempunyai visi: Orang kaya percaya untuk menjadi kaya mereka perlu berpandangan jauh. Mereka juga ada matlamat hidup, tidak kira sama ada matlamat jangka panjang dan jangka pendek. Bagi mereka, kekayaan bukanlah sesuatu yang perlu ditunggu atau diberikan oleh pihak lain, tetapi diraih dengan perancangan yang baik.
  1. Sukakan duit: Sifat orang kaya memang sukakan duit, namun bagi mereka wang bukanlah segala-galanya. Mereka tahu tiada batasan had kekayaan apabila bekerja sendiri berbanding kerja makan gaji. Mereka juga menghargai duit dan belajar untuk meningkatkan jumlah duit tersebut dan percaya wang dan kekayaan perlu untuk mencapai tujuan hidup. Dalam erti kata lain, dengan wang yang dimiliki boleh meningkatkan taraf hidup, taraf kesihatan dan kualiti kebahagian yang mereka miliki.
  1. Tidak menganggap duit sebagai punca kejahatan: Bagi mereka, dengan mempunyai banyak wang, akan dapat mengelakkan mereka dari terjerumus ke dalam masalah akibat tidak memiliki duit seperti merompak, membunuh dan mencuri.
  1. Orang kaya suka menyimpan: Orang kaya sentiasa menyimpan sekurang-kurangnya 50% hasil pendapatan mereka. Oleh itu jika ingin keluar dari kemiskinan maka anda perlu berusaha untuk lebih banyak menyimpan.
  2. Orang kaya selalu membuat pelaburan untuk menggandakan kekayaan: Wang menghasilkan wang! Kebiasaannya orang kaya akan faham bahawa wang yang diperoleh daripada keuntungan perniagaan bukanlah untuk dibelanjakan melainkan untuk diproduktifkan sehingga kembali menghasilkan wang. Mereka akan melaburkan duit yang mereka miliki dan berusaha melaburkan semula keuntungan perniagaan untuk mengembangkan perniagaan mereka, menambah pelaburan emas, perak, amanah saham dan pasaran saham dengan harapan agar duit ini akan berganda menjadi lebih banyak pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, apa saja bentuk pelaburan adalah berisiko tinggi. Anda perlu belajar untuk melaburkan duit yang anda miliki, ilmu pengetahuan anda mungkin akan mengalami kerugian dalam pelaburan yang dilakukan. Warren Buffet pernah berkata, jangan melabur jika anda tak tahu apa yang anda lakukan!
Faktor Kekayaan

  1. Kaya Disebabkan Keturunan: Ada usahawan yang kaya disebabkan keturunan. Lahir-lahir sahaja sudah berada dalam keluarga yang kaya, tentu masa depan pun cerah, bukan? Namun tak ramai yang bernasib sebegini baik, hanya segelintir sahaja.
  1. Menjadi usahawan atau ahli perniagaan: Forbes Magazine telah menyenaraikan 74% daripada mereka yang berjaya dan kaya adalah mereka yang menjalankan perniagaan. Menjalankan perniagaan juga dianggap mulia dalam Islam. Terdapat hadis nabi yang menyebut, ‘9/10 daripada sumber rezeki adalah hasil daripada perniagaan’.
    Sekiranya ingin menceburi dalam bidang perniagaan, maka seseorang itu perlu pantas dalam merebut peluang yang ada. angan risau tentang hal orang lain tetapi fokus untuk memperbaiki diri sendiri. Belajarlah dari mereka yang telah terbukti berjaya dalam perniagaan dan pelajari sistem yang digunakan mereka. Keusahawanan adalah asas yang penting untuk membina kekayaan tetapi anda perlu bersedia untuk menambah ilmu dan kemahiran. Antaranya ialah ilmu pemasaran kerana pemasaran adalah kunci kejayaan dan kekayaan keusahawanan.
  1. Bekerja keras menaiki tangga kerjaya: Tahu kah anda 10% daripada orang kaya membina kekayaan mereka melalui kerja keras, berusaha dan menjadi aset kepada syarikat-syarikat tertentu. Mereka berkhidmat di syarikat-syarikat yang pada asalnya kecil, kemudian selepas beberapa tahun berkembang menjadi syarikat yang besar. Mereka yang telah bekerja keras ini kemudiannya diberikan ganjaran saham apabila syarikat tersebut disenaraikan ke bursa saham.
  1. Menjadi pakar atau professional dalam sesuatu bidang: Ada juga yang kaya dan berjaya dengan memilih kerjaya professional ataupun pakar dalam sesuatu bidang. Contohnya seperti doktor, akauntan, peguam, arkitek, jurutera dan lain-lain lagi. Pengalaman yang dimiliki oleh mereka yang terlibat dalam profesion ini membolehkan mereka dinilai dan diberi ganjaran pendapatan yang sangat lumayan.
  1. Melibatkan diri dalam bidang jualan: Melibatkan diri dalam bidang jualan adalah antara cara yang mudah dan ramai daripada mereka yang berjaya serta kaya dengan cara ini. Usahawan yang terlibat dalam bidan jualan mungkin mempunyai kelulusan sederhana tetapi pendapatan mereka mungkin lebih banyak sebulan dibandingkan dengan pakar yang mengajar tentang teori jualan dan pemasaran tetapi tidak pernah terlibat dalam hal menjual barang.
  1.  Nasib, bakat atau rezeki yang terpijak: Hanya 1% daripada mereka yang kaya berjaya melalui cara ini. Mereka berjaya membina kekayaan melalui saham, ciptaan terbaru atau terkini, teknologi, industri hiburan, penulisan buku dan lagu, menang loteri atau apa-apa cara yang banyak memerlukan usaha tetapi banyak bergantung kepada bakat atau nasib. Kaedah ini adalah tidak mustahil tetapi agak susah.
Kaya Mengikut Prinsip Islam
Islam juga menggalakkan umatnya untuk menjadi kaya, dengan meletakkan pelbagai garis panduan dan tatacara untuk seseorang itu menjadi kaya:
  1. Gemar menolong orang – orang yang lemah, baik dalam bentuk fizikal ataupun material, “tidaklah kalian semua diberi pertolongan dan diberikan rezeki melainkan karena orang – orang lemah di antara kalian”
  1. Gemar mendermakan harta. Firman Allah SWT “dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, Allah akan menggantikannya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik – baiknya”
  1. Gemar bersilaturrahim. Nabi SAW bersabda “Ketahuilah orang yang ada hubungan nasab denganmu, engkau harus menyambung hubungan kekerabatan dengannya. Kerana sesungguhnya silaturrahim itu akan menumbuhkan kecintaan pada keluarga, memperbanyak harta, dan memanjangkan umur”
  1. Tawakal kepada Allah SWT terhadap apa yang telah kita usahakan dalm mencari rezeki. “Seandainya kalian mahu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, pasti Allah akan memberikan rezeki kepadamu sebagaimana burung yang di beri rezeki, pagi – pagi dia dalam keadaan lapar, dan kembali dengan keadaan kenyang” (hadis Nabi S.A.W.) Berkaitan dengan tawakal, maka manusia dianjurkan untuk terus melakukan ikhtiar dari setiap usaha yang dilakukannya.
Antara Mereka Yang Perlu Dicontohi
Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew dilahirkan di Hui-An, Daerah Fujian, Chinadan pada mulanya hanyalah merupakan seorang pelatih mekanik kereta. Untuk menambah pendapatan, beliau akan mengambil upah membasuh bas dengan bayaran 10 sen sebuah. Loh mula mengumpul duit sejak kecil dan pada ketika berusia 18 tahun, Loh membeli 11 unit bas dengan menggunakan simpanan RM2,000. Bas-bas tersebut kemudian dijualnya dengan harga RM12,000 sebuah. Keuntungan yang diperoleh tidak dibelanjakan sesuka hati, tetapi digunakan untuk mengembangkan perniagaannya. Beliau kemudiannya membeli pula 39 unit bas yang lain.
Pada tahun 1958, Loh mengambil keputusan untuk menceburi bidang kenderaan bermotor. Matlamat utamanya adalah merevolusikan industri permotoran Malaysia. Loh kemudiannya mengatur perjumpaan dengan Mr. Soichiro Honda, seorang pencipta motosikal yang terkenal dengan ideanya untuk mewujudkan pengangkutan bermotor yang berkesan untuk orang ramai. Dalam perbincangan yang dibuat bersama, kata sepakat telah dipersetujui dan selang beberapa tahun kemudian, sebuah kilang Honda mula dibuka di Kawasan Perindustrian Mak Mandin, Pulau Pinang bagi memasang Honda Cub dan motosikal Honda telah dinamakan semula sebagaiBoon Siew Honda. Baru-baru ini, Boon Siew Honda telah membuka kilang baru di bernilai RM200 juta di Kawasan Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang dan beroperasi sebagai pusat pengeluaran, jualan, servis dan alat ganti motosikal.
Tan Sri Syed Mokhtar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951. Beliau lahir dalam keluarga yang besar dan hidup serba kekurangan. Rumah yang didiami sangat usang dan tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Tan Sri Syed Mokhtar tidak mendapat pendidikan yang tinggi, dan mendapat ilmunya melalui pengalaman yang diperolehnya dalam menjalankan perniagaan sejak kecil lagi. Beliau membantu ibunya menanam sayur-sayuran, menjual sayurannya di pasar dan menjual roti canai di pasar yang sama. Beliau juga turut menggembala haiwan peliharaan bapanya semata-mata untuk membantu menampung perbelanjaan keluarganya. Terlalu banyak cabaran yang beliau hadapi antaranya apabila perniagaan haiwan ternakannya mengalami kemerosotan akibat wabak kaki dan mulut. Ia memberikan kesan yang sangat buruk kepadanya sehingga beliau mengambil keputusan untuk tidal lagi melibatkan diri dalam bidang penternakan. Beliau mula menjual daging secara kecil-kecilan dengan membeli daging yang tidak terjual di pasar, membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar.
Setelah berasa lebih yakin dengan dirinya sendiri, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan dengan melakukan jual beli kenderaan berat. Selain itu, beliau juga turut berkecimpung dalam perdagangan beras dan juga komoditi lain seperti gula, teh, tepung susu dan juga minyak sapi kepada kerajaan. Tan Sri Syed Mokhtar juga gemar mencuba sesuatu yang baru. Ini terbukti apabila beliau menceburi bidang pembuatan pakaian, perkapalan, kejuruteraan, pembinaan, automobil dan perkhidmatan pos. Sehingga kini Forbes Magazine telah mengiktiraf Tan Sri Syed Mokhtar sebagai usahawan ke-526 terkaya di dunia dan yang ke-8 terkaya di Malaysia.
usahawan.com

Patuhi Shariah Dalam Pembelian Emas

Syariat Islam secara prinsipnya adalah tetap dan tidak berubah sehingga hari kiamat. Apa yang dinamik adalah aplikasi sesuatu prinsip itu yang berubah mengikut peredaran zaman dan tempat. Misalnya pada zaman Nabi S.A.W, tidak ada urusniaga menerusi internet, tetapi itu tidak bermakna Islam tidak ada panduan untuk berurusniaga dalam talian.

Hukum Pembelian Emas menggunakan Matawang

Berdasarkan perbincangan dalam artikel Riba Disebalik Pembelian Emas yang lepas, mari kita lihat apakah aplikasi hukum yang diguna pakai pada hari ini berdasarkan prinsip-prinsip yang tetap itu tadi.


Memandangkan kebanyakan kita membeli emas dengan matawang kertas maka kita perlu memahami hukum penggunaan matawang kertas terlebih dahulu.

Hukum Matawang Kertas

Secara umumnya ulama berbeza pendapat dari sudut adakah matawang hanya terhad kepada emas dan perak sahaja. Sebahagian ulama berkata hanya emas dan perak sahaja yang menjadi matawang.

Manakala sebahagian ulama yang lain berkata apa-apa sahaja dapat menjadi matawang, selagi mana ia dapat berfungsi sebagai medium pertukaran yang diterima dalam masyarakat.

Hukum Matawang Kertas

Selepas emas tidak lagi menjadi sandaran matawang bermula dari 1971. Maka ulama-ulama semasa telah berbincang untuk mendepani situasi ini kerana medium pertukaran (medium of exchange) yang standard, adalah sesuatu yang penting dalam hidup kita semua.

Maka pada 1986 Akademi Fiqh Sedunia yang berpusat di Jeddah telah mengeluarkan fatwa. Sesungguhnya matawang kertas mempunyai kesan, dan sifat yang sama seperti matawang emas dan perak atau matawang bersandarkan emas dan perak.

Halal Digunakan Untuk Tujuan Tertentu

Justeru matawang kertas adalah halal digunakan untuk tujuan zakat, perniagaan dan lain-lain termasuklah hukum riba juga terguna pakai dalam penggunaan matawang kertas.

Akademi Fiqh Sedunia atau Majma Fiqh al-Islami merupakan badan fatwa antarabangsa yang membincangkan pelbagai isu berkaitan umat Islam. Manakala AAOIFI (Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions) adalah badan fatwa antarabangsa yang fokus, terhadap isu-isu berkaitan kewangan dan ekonomi Islam.

Maka berdasarkan konsep Qiyas yang diterima pakai dalam situasi ini, maka matawang kertas merupakan barang ribawi yang mempunyai sama ‘illahnya dengan emas dan perak tetapi berbeza jenis.

Kerajaan-kerajaan negara umat Islam juga menerima pakai pandangan fatwa ini. Justeru adalah wajib untuk kita mengikut fatwa yang telah menjadi undang-undang negara.

Fatwa yang Disahkan Oleh Akademi Fiqh Sedunia

Keputusan Akademi Fiqh Sedunia ini diterima pakai oleh Majlis Syariah Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), yang berpusat di Bahrain pada tahun 2000.

Malah dokumentasi fatwa AAOIFI berkaitan urusniaga matawang ini, adalah dokumentasi fatwa yang pertama kerana medium pertukaran merupakan rukun penting dalam perniagaan.

Pembelian emas & perak melalui urusniaga matawang

Justeru pembelian atau pertukaran matawang kertas dengan emas dan perak wajib berlaku secara serah tunai, dan bayar tunai dalam satu sesi urusniaga tanpa ada sebarang penangguhan. Contohnya seperti berikut:

RM 100 untuk membeli 1 gram emas mesti berlaku secara tunai.
RM 1000 untuk membeli 250 gram perak mesti berlaku secara tunai.
Maka, kita mesti mengelakkan daripada membuat urusniaga emas secara tempah, sama ada bayar dulu hari ini dan dapat emas 7 hari kemudian, atau pun bayar dulu hari ini dan pos kemudian tanpa ada mekanisma urusniaga yang betul.

Kita juga jangan membeli secara hutang ataupun installment. Tunggu cukup duit dahulu baru beli.

Sekiranya kita mahu ‘menempah barang kemas’ pula, jual beli emas mesti berlaku secara tunai. Kemudian barulah urusan upah membuat barang kemas dibuat.

Bagaimana Urusniaga Emas Perak yang Patuh Syariah?

#1 – Emas dan Perak Mesti Ada

Emas & Perak mestilah ada

Sekiranya stok emas cuma ada 1025 gram, maka penjual emas hanya dapat menjual 1025 gram sahaja, walaupun permintaan melebihi dari jumlah yang ada. Penjual tidak boleh menjual emas yang dia tidak ada atas dasar tempahan.

Penjual juga tidak boleh menjual emas yang mempunyai sekatan tertentu seperti emas yang masih dalam pajakan atau gadaian (ar-rahnu). Selepas emas itu tiada sekatan lagi barulah ia boleh dijual seperti biasa.

Apa yang dibenarkan cuma janji sebelah pihak (wa’ad / promise) untuk membeli atau menjual emas dan bukan transaksi jual beli. Aplikasi wa’ad ini perlu diteroka dengan lebih terperinci, untuk mewujudkan mekanisma ‘lock’ harga yang patuh Syariah.

Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #1 AAOIFI, mengenai pertukaran matawang.

#2 – Bayar Secara Tunai

Pembayaran tunai tidak bermaksud mesti duit fizikal berubah tangan. Atas sebab-sebab tertentu duit fizikal tidak dapat dibawa, maka apa yang penting duit mesti cukup dalam akaun bank.

Kemudian kita dapat mengeluarkan cek, telegraph transfer, ATM transfer, debit card transfer mahupun internet banking transfer. ‘Kad kredit’ dari perbankan Islam yang berdasarkan kontrak Bai’ Inah mahupun Tawarruq, dapat digunakan untuk membeli emas dan perak.

Kerana ‘kad kredit’ perbankan Islam adalah berbeza prosesnya dengan kad kredit perbankan riba. Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #1 AAOIFI mengenai pertukaran matawang.

#3 – Serah Emas Perak Secara Tunai

Serah Emas Perak secara tunai

Penyerahan emas secara tunai juga tidak bermaksud emas dan perak fizikal berubah tangan. Penjual dapat memberikan resit atau sijil yang membuktikan kewujudan emas dan perak sama, dan status resit atau sijil ini perlu sama seperti geran hartanah.

Apa yang penting, sijil itu dikeluarkan berdasarkan emas dan perak yang memang ada dalam simpanan penjual, dan bukannya resit atau sijil emas yang belum ada lagi.

Selepas resit atau sijil ini dikeluarkan, maka barulah kita uruskan proses penghantaran emas perak fizikal kepada pembeli dengan cara yang dipersetujui.

Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #18 AAOIFI mengenai qabadh (posession).

Mekanisma urusiniaga ini dapat berlaku dalam urusniaga secara online mahupun offline. Cara yang paling baik adalah syarikat-syarikat pengeluar emas yang sudah kaya raya ini menubuhkan Majlis Syariah, yang terdiri daripada sekumpulan ulama’ yang pakar dalam bidang kewangan Islam.

Ini bagi membolehkan operasi jual beli syarikat disemak dan diaudit secara Syariah. Kepakaran mereka ini dapat mewujudkan mekanisma jual beli emas patuh Syariah, yang seragam untuk industri emas dan perak.

Ini adalah amat penting bagi memastikan umat Islam terselamat daripada aktiviti riba.

CARA MUDAH NAK UKUR SAIZ CINCIN

1 - Ambil sepotong kertas, tali, benang atau sebagainya.
2 -  Lilit pada jari.
3 - Ambil pen sebagai penanda, tanda pada kertas, tali, benang atau sebagainya
4 - Ukur pada pembaris saiz ukur lilit jari anda Cari saiz cincin berdasarkan jadual dibawah.


Diameter ukuran = Saiz nombor

4cm =1

4.2cm =2

4.3cm = 3

4.4cm = 4

4.5cm = 5

4.6cm = 6

4.7cm = 7

4.8cm = 8

4.9cm = 9

5cm =10

5.2cm = 11

5.3cm = 12

5.4cm = 13

5.5cm = 14

5.6cm = 15

5.7cm = 16

5.8cm = 17

6cm = 18

6.1cm = 19

6.2cm = 20

6.3cm = 21

6.4cm = 22

6.5cm = 23

6.6cm = 24

6.7cm = 25

6.8cm = 26

6.9cm = 27

7cm = 28

7.1cm = 29

7.2cm = 30

7.3cm = 31

7.5cm = 32

7.6cm = 33